KERJASAMA USM DAN ITBM MAJUKAN INDUSTRI TERJEMAHAN
KUALA LUMPUR, 17 Mac 2015 – Jalinan kerjasama di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) adalah antara langkah untuk memajukan industri terjemahan di Malaysia.
Kedua-dua pihak akan terus meningkatkan penterjemahan, penerbitan karya terjemahan serta meningkatkan kualiti dan profesionalisme penterjemah di negara ini berbanding tahun-tahun lalu.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman melalui kerjasama tersebut para pelajar program Sarjana Sastera Pengajian Penterjemahan yang ditawarkan di Institut Pengajian Siswazah USM di Kuala Lumpur (IPS USM@KL) dapat menggunakan buku-buku daripada ITBM untuk projek terjemahan.
“Sehubungan itu, para pelajar akan dapat menjalankan penterjemahan buku-buku ITBM melaui projek-projek yang dijalankan sepanjang pengajian,” ujar Naib Canselor ketika berucap di majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dan ITBM di sini semalam.
Kerjasama tersebut juga diharapkan dapat mengaktifkan lagi hubungan akademia dengan industri serta meningkatkan lagi kredibiliti mereka yang berada dalam industry ke arah peningkatan kerjasama penerbitan.
Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata hasil penterjemahan oleh para pelajar berpotensi untuk diterbitkan dan ini akan meningkatkan jumlah naskhah buku yang diterjemah berbanding tahun lalu hanya lebih kurang 200 buah buku diterjemah.
“Bidang terjemahan belum dipandang sebagai satu kerjaya berbanding di negara-negara luar dan hal ini akan mengambil masa untuk dikenali.
Namun jika dilihat dan dikaji bidang ini memberikan pulangan yang lumayan kepada penterjemah samada di Malaysia dan juga di luar Negara.
Program sarjana melalui mod campuran yang ditawarkan oleh PPIK ini mula dikendalikan di IPS USM@KL yang terletak di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada September 2014. Program yang sama turut ditawarkan di kampus induk di Pulau Pinang.
Matlamat utama program ini adalah untuk memenuhi keperluan bagi penghasilan produk terjemahan berkualiti dan golongan profesional dalam bidang terjemahan.
Penawaran program ini di Kuala Lumpur dapat memenuhi permintaan bakal pelajar di sekitar Lembah Klang yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang terjemahan serta sekaligus memberi alternatif kepada bakal pelajar.
Selain daripada program Sarjana Pengajian Penterjemahan melalui mod campuran, PPIK juga menawarkan program sarjana dan doktor falsafah (Terjemahan) melalui mod penyelidikan serta Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi.
Turut hadir ialah Dekan PPIK, Profesor Madya Dr Hajar Abdul Rahim, Pengurus Besar Terjemahan dan Latihan ITBM, Sakri Abdullah dan Timbalan Dekan IPS@KL, Dr Hasrina Mustafa. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Marziana Mohamed Alias
Credit to : USM News Portal